BLOG BERPINDAH


kepada pembaca setia blog ini.
Blog ini telah berpindah ke alamat


http://futopsecret.blogspot.com

Jumaat, 21 Januari 2011

Pembinaan Kaabah pada zaman Abdullah Bin Az-Zubair:

 

1.  Kebakaran Kaabah pada zaman pemerintahan Yazid bin Muawiyah merupakan kebakaran yang agak besar pernah berlaku. Abdullah bin Az-Zubair telah membiarkan keadaan Kaabah yang terbakar itu sehingga  tiba musim Haji dimana ramai yang berkunjung untuk mengerjakan Haji.

 Apabila mereka semakin ramai, beliau berkata: Wahai umat Islam! Tunjukkanlah kepadaku cara  memperbaiki Kaabah, samada meruntuh, membinanya semula ataupun memperbaiki kerosakannya sahaja. 

 Ibnu Abbas berkata: Pada pendapatku: Kamu perbaiki kerosakannya  sahaja. Biarkan binaan asal Baitullah dan batu-batu binaan asalnya kerana di situlah orang ramai memeluk Islam serta Rasulullah s.a.w diutuskan.

Ibnu Az-Zubair berkata: Sekiranya rumah salah seorang di antara kamu terbakar, tentu dia tidak redha sebelum memperbaharuinya. Bagaimana pula dengan rumah Tuhan kamu? Sesungguhnya aku akan memohon kebaikan (beristikharah) daripada Tuhanku sebanyak tiga kali kemudian barulah melakukan urusanku.

 2.      Selepas tiga kali beristikharah, mereka telah sepakat untuk  meruntuhkannya. Ketika hendak memulakannya, orang ramai merasa  bimbang kalau-kalau orang pertama  yang memulakan kerja tersebut akan di timpa bala dari langit. Kemudian seorang lelaki naik ke atas bumbung Kaabah lalu mencampakkan batu-bata runtuhan. Apabila orang ramai melihat lelaki tersebut tidak di timpa bala, mereka terus ikut melakukannya. Mereka membuang kesemua batu-bata sehingga menyamai tanah. Ibnu Az-Zubair  membina beberapa batang tiang dan membina dinding  di sekeliling tiang tersebut sehingga siap terdiri sebuah binaan. Kemudian mereka melakukan tawaf mengelilingi binaan Kaabah tersebut. Tiada seorangpun yang ketinggalan dari melakukannya.

3.      Ibnu Az-Zubair berkata: Sesungguhnya aku telah mendengar Saidatina Aisyah r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: "Seandainya kaummu (orang ramai) telah lama meninggalkan masa jahiliah (dengan kekufuran) dan seandainya aku mempunyai harta untuk membiayai penambahan banguan Baitullah tentu aku akanmemasukkan kawasan Hijir Ismail itu selaras dengan Kaabah sebanyak lima hasta, kemudian aku akan membuat pintu masuk dan pintu keluar daripadanya". 

Ibnu Az-Zubair berkata: Pada hari ini, aku telah mendapat kos pembinaannya dan tidak perlu bimbang keadaan orang ramai.
 

Kaabah Zaman Nabi Ibrahim
 
 
4.      Setelah Ibnu Az-Zubair meruntuhkan Kaabah dan meratakannya sehingga menyamai bumi, beliau mencari asas Nabi Ibrahim a.s. Beliau menemui tapak asas tersebut berada lebih sedikit daripada enam hasta ke arah Hijir. Batu asas tersebut seolah-olah leher unta iaitu batu yang berwarna merah yang bertaut antara satu sama lain seperti genggaman jari-jari.

 5.      Ketika sedang menggali asas binaan Nabi Ibrahim a.s, beliau menemui sebuah kubur lalu berkata: Ini adalah kubur ibu Nabi Ismail a.s (Siti Hajar). Seramai lima puluh orang lelaki berserta dengan para pembesar mereka menyaksikan peristiwa tersebut.

 6.      Abdullah bin Muti' Al-Adawi telah memasukkan besi penuas yang berada di tangannya pada salah satu penjuru Kaabah lalu setiap penjuru Kaabah bergerak sedikit demi sedikit. Tanpa diduga tepi Kaabah telah runtuh menyebabkan seluruh Kota Mekah bergegar dengan kuat. Gegaran itu telah menakutkan mereka.
Ibnu Az-Zubir berkata: Saksikanlah! Kemudian beliau membina binaan tersebut di atas asas Nabi Ibrahim a.s.  Beliau juga membina dua buah pintu dari atas tanah, kedua-dua pintu tersebut berhadapan antara satu sama lain.

 7.      Ibnu Az-Zubair menambah ketinggian Kaabah sembilan hasta, menjadikan ketinggiannya setinggi dua puluh tujuh hasta.

8.      Beliau menjadikan lebar dinding Kaabah dua hasta.

 9.      Beliau membina tiga batang tiang di dalam Kaabah menggantikan enam batang tiang yang dibina  oleh orang-orang Quraisy. 

10.     Beliau mengambil batu marmar dari San'aa dan meletakkannya di bahagian atas untuk menguatkan pancaran cahaya.

 11.     Beliau membina pintunya yang terdiri dari dua daun pintu manakala panjang keduanya adalah sebelas hasta.

 12.     Beliau juga membina tangga kayu untuk naik ke atas Kaabah.

 13.     Setelah Ibnu Az-Zubair selesai membinanya, beliau menyapu bahagian dalam dan luar Kaabah dengan wangi-wangian, za'faran dan memasang kelambu.



Kaabah Nabi Ibrahim dan Kaabah sekarang
 
 14.     Ibnu Az-Zubair mengeluarkan seratus ekor unta atau lembu lalu tawaf di sekeliling Kaabah dan melambai di setiap penjurunya.
 
http://4.bp.blogspot.com/_WZFHsl0n6E4/TDfdsZv1knI/AAAAAAAAASs/lAqhFGDV10Q/s1600/peringkat+kaabah.jpg

Tiada ulasan: