BLOG BERPINDAH


kepada pembaca setia blog ini.
Blog ini telah berpindah ke alamat


http://futopsecret.blogspot.com

Selasa, 22 Mac 2011

KUPASAN TENTANG PERKATAAN TUHAN

Assalamulaikum W.M.H.T

Dalam tajuk artikel yang diberikan Tsunami Jepun-Lambang Tumbangnya Teknologi Sains; Menangnya Teknologi Roh...dan Mesej dari Tuhan dapatlah dikupas dalam beberapa aspek.

Pertama : Bila disebut perkataan Tuhan bukan perkataan Allah supaya semua dapat merasakan betapa hebatnya Allah. Sebab bila disebut perkataan Tuhan kita akan merasa secara ilmu yang semua orang tidak kira orang Islam atau kafir akan faham yang berbuat kepada sesuatu perkara ialah Allah. Allah itulah Tuhan. Tidak ada Tuhan selain Allah. Orang kafir itu pun tahu Allah itu Tuhan. Tetapi tahu secara rohnya. Bukan secara ilmunya.

Kenapa saya berkata begitu? Sebab rasa berTuhan itu semua orang ada. Tidak kira orang Islam atau kafir. Sebab itu fitrah seperti mana fitrah merasa benda kotor itu jijik. Semua orang akan rasa jijik bila melihat benda kotor. Tidak kira orang Islam atau kafir. Sebenarnya banyak perkara Allah bekalkan kepada manusia yang dilahirkan ke dunia dengan fitrah yang sama. Fitrah rasa berTuhan, rasa inginkan keselamatan, rasa suka kebersihan, rasa ingin mengasihi dan sebagainya. Jadi rasa berTuhan yang dimiliki oleh orang Islam dan kafir sebenarnya sama. Cuma yang bezanya bila hendak mencari dan mengenali Tuhan itu atau hendak tahu dan kenal Tuhan secara ilmu itu yang salah, terseleweng atau sesat. Kerana tidak berpandukan syariat atau wahyu.

Mereka mencari dan mengenal Tuhan dengan akal, dengan budaya nenek moyang atau dengan pengalaman lalu. Jadi tersesat dan terselewenglah mereka. Kesimpulannya rasa berTuhan itu sama dan tepat, yang salah atau terseleweng dalam mengenali Tuhan itu kerana tidak berpandukan syariat.

Untuk lebih faham lagi, saya cuba bawa dialog-dialog yang biasa kita dengar berdasarkan pengalaman kita lalui selama ini. Dalam filem barat kita sering terdengar ungkapan dialog ini "Oh my God" atau "Oh Tuhan ku" . Seperti juga kita dengar perkataan dari kalangan orang-orang cina atau india "Ini Tuhan Alla punya kuasa". Ketika perkataan-perkataan ini disebut ianya disebut secara melalui rasa hati. Tidaklah ketika itu, mereka cakap baru hendak fikir tuhan mereka adalah Trinity atau tuhan patung, tuhan matahari atau tuhan api. Masa itu hubungan akal terhenti yang ada hubungan hati. Iaitu rasa berTuhan(rasa ada kuasa yang menguasai dan memerhati).

Samalah juga dengan orang-orang Islam bila bercakap secara spontan perkataan Allah iaitu bila menerima sesuatu perkara sama ada yang berbentuk ujian kesusahan atau kesenangan. Diucapkan astaghfirullahhal'azim, alhamdulillah dan sebagainya. Ketika diucapkan itu tiada ada hubungan akal, yang ada hubungan hati, iaitu rasa berTuhan walaupun minimum rasa berTuhan itu. Tetapi tetap ada rasa berTuhan. Bagi orang kafir yang tidak tepat itu adalah kenal Tuhan itu secara ilmu bukannnya rasa berTuhan itu.

Kedua: Bila disebut Tuhan tidak disebut Allah. Sebenarnya tidak ada apa-apa persoalan yang besar di sini. Sama sahaja bagi kita orang Islam atau orang yang faham, Allah itu adalah Tuhan. Tuhan itu ialah Allah. Secara hakikat begitulah. Hujahnya begini. Sering kali kalau kita berdoa secara bersendirian sama ada selepas solat atau waktu-waktu yang yang lain atau dalam bentuk rintihan, kita akan menyebut  "Ya Allah , Ya Tuhanku". Kalau doa itu dalam bahasa melayu kecuali kalau lafaz keseluruhannya dalam bahasa arab. Kita akan berkata begitu. Kalau orang arab akan sebut "Ya Allah , Ya Rabbi".

Jadi sebenarnya perkataan Allah adalah nama Tuhan yang utama. Kita orang melayu selalu berdoa dengan perkataan  "Ya Allah , Ya Tuhanku ampunkanlah dosaku". Perkataan " Ya Tuhanku" selepas perkataan "Ya Allah" ialah untuk mengukuhkan keyakinan kita bahawa Allah itu Tuhan, Pencipta, Penguasa, Pemilik alam ini. Tuhan itu perkataan sanskrit. Maknanya hati kita merasa Allah ialah Tuhan. Di lisannya perkataan Allah, tetapi yang merasanya ialah hati. Ketika itu hubungan hatilah yang paling kuat. Lisan hanya untuk menguatkan. Hati yang merasa. 

Jadi tidak timbul bila sebut Allah lebih baik dari sebut Tuhan. Sama sahaja bila sebut Tuhan atau Allah. Sebab hati kita yang merasa ketika itu. Allah menilai hati kita. Kalau kita sebut Allah banyak-banyak pun setakat di lisan atau di mulut sampai berpuluh-puluh kali tetapi hati tidak merasa pun Allah hebat, Allah berkuasa, Allah Pencatur, Allah Pemberi dan sebagainya, tidak berguna juga.

Tetapi bila kita sebut Tuhan tetapi hati merasa Allah berkuasa, Allah menentukan, menghidupkan dan mematikan dan sebagainya. Itulah rasa berTuhan. Begitu juga rasa hamba, rasa lemah, rasa tidak ada apa-apa. Itulah pula rasa hamba. Allah itu segala-galanya. Tempat meminta, Tempat rujuk, Tempat penyerahan dan lain-lain.


Ketiga: Bila disebut Menangnya Teknologi Roh, Kalahnya Teknologi Sains. Maknanya Allah mahu menyampaikan mesej/isyarat bahawa Dialah Maha Berkuasa, bukan akal manusia. Sebab ilmu sains itu hakikatnya Allah punya. Allah yang beri. Tetapi manusia kini, di akhir zaman telah meyakini dengan ilmu sains yang mereka miliki boleh buat apa sahaja. Mereka boleh selenggarakan dunia ini. Mereka boleh selesaikan masalah. Ini seolah-olah telah merujuk kepada akal sebagai tuhan. Bukan Tuhan atau Allah sebagai Tuhan. Lambat laun keyakinan rasa berTuhan yang ada pada awalnya akhirnya rosak. Akhirnya rasa berTuhan akan hilang. Yang ada hanya tahu Allah itu ada atau wujud dan berkuasa tetapi setakat akal sahaja. Bukan lagi rasa di hati.

Inilah yang berlaku kepada rata-rata manusia di dunia hari ini, tidak kiralah yang Islam atau yang kafir. Bila kehidupan sudah selesa dibantu dengan teknologi sains, akhirnya semua manusia telah berkiblatkan kepada teknologi sains. Sains adalah segala-galanya. Inilah yang terjadi sekarang. Banyaknya kejadian bunuh diri, manusia kecewa, manusia bongkak dan sombong serta pelbagai lagi individu yang telah rosak fitrahnya(hilangnya rasa berTuhan).

Hari ini bila ditanya kepada manusia macam mana masalah ini hendak diselesaikan?Macam mana perkara ini berlaku? Atau bagaimana kesannya nanti? Apakah tindakan seterusnya? Rata-rata akan menjawabnya dengan pelbagai jawapan yang semuanya tidak merujuk kepada Tuhan. Semua merujuk kepada ilmu yang mereka ada. Atau lebih tepat lagi merujuk kepada ilmu sains atau ilmu akal. Jarang jumpa yang rujuk kepada Tuhan. Orang Islam hari ini pun sifat dan sikapnya seperti orang kafir. Iaitu iktiqad tentang menyelesaikan masalah.  


Keempat:  Jadi segala peristiwa yang menimpa seluruh dunia sekarang ini ialah mesej yang jelas dari Tuhan yang menggunakan media di langit dan di bumi  untuk mempromosikan semula DiriNya yang telah dilupakan manusia. Bukan setakat dari segi  kenal dan tahu Tuhan ada secara ilmu sahaja. Tetapi untuk mendatangkan rasa berTuhan dalam diri semua manusia semula. Agar semua orang Islam dapat Tuhan dan rasa Tuhan semula. Rasa Tuhan itu berkuasa dan berperanan. Bukan manusia yang berkuasa dan berperanan ke atas segala perkara. Manakala untuk orang kafir pun Allah hendak kembalikan semula rasa berTuhan itu. Walaupaun tahu dan kenal Tuhan secara ilmu, mereka memang sesat dan terseleweng. Sebab tugas untuk membetulkan iktiqad tahu dan kenal Tuhan yang tepat mengikut syariat atau secara wahyu akan diselesaikan oleh Imam Mahdi bila beliau muncul nanti. [Walaupun Imam Mahdi sudah zahir dan memerintah sekarang tetapi beliau belum muncul lagi. Ada beza antara zahir dan muncul]


KESIMPULAN :

1.                  Jelas perkataan Tuhan yang digunakan pada tajuk dan sebahagian artikel ini ialah merujuk kepada Allah, iaitu Tuhan yang esa. Ia dituju kepada semua manusia. Cuma pada orang kafir dari segi kenal dan tahu mereka kepada Tuhan yang sebenar adalah tidak tepat atau tidak mengikut wahyu ataupun syariat. Tetapi dari segi rasa berTuhan dalam diri semua manusia itu sama.

2.                  Tuhan yakni Allah telah menggunakan media yang ada dilangit atau pun di bumi seperti gempa bumi, tsunami dan sebagainya untuk Dia mempromosikan diriNya semula yang telah dilupakan oleh semua manusia. Dalam perkataan lain, Allah jadikan gempa bumi atau tsunami untuk menyentakkan semula kesombangan manusia agar kembali merasa hebatnya Tuhan dan adanya peranan Tuhan di dalam kehidupan manusia.

3.                  Manusia selama ini tidak kiralah sama ada yang tepat aqidahnya atau yang tereseleweng aqidahnya, semua telah hilang sedikit demi sedikit rasa berTuhan dalam diri. Yang akhirnya nanti akan menjadikan manusia itu bertuhankan kuasa dan ilmu dirinya. Bukan lagi Tuhan.


Begitulah kupasan yang saya dapat berikan tentang tajuk dan artikel yang diperbincangkan  berdasarkan ilham yang Allah berikan melalui keberkatan tiga pemimpin roh atau pemimpin 3 serangkai yang sangat berperanan sekarang iaitu Rasulullah S.A.W. ,Saidi Syeikh Imam Mahdi dan Abuya Fata At-Tamimi.

Sekian. Walallah'hualam.

Tiada ulasan: